Tabung Pendidikan Negeri Sabah akan dilancarkan bulan depan

Tabung Pendidikan Negeri Sabah akan dilancarkan bulan depan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu anak Sabah melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tabung itu yang akan dilancarkan bulan depan disasar bagi membolehkan lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian.

Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Dr Nuinda.

“Kerajaan negeri menubuhkan TPNS yang akan dilancarkan pada bulan depan. Penubuhan TPNS adalah salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015-2023.

“Usaha berkenaan juga selaras dengan salah satu teras Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji Haji Noor (dua kanan) melihat Buku Tawag Tokoh Guru Sabah yang dilancarkan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di (SICC).

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman.

TPNS diwujudkan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk pendidikan di Sabah pada 9 Disember tahun lalu dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2022.

Hajiji berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) selepas mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Ini termasuklah pemberian sebanyak 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam di Sabah. Dalam Belanjawan Sabah 2022, kerajaan turut memperuntukkan bantuan sosial sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis yang melibatkan 289,204 murid dengan peruntukkan sebanyak RM13.9 juta.

“Kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM17.5 juta,” katanya.

Tambahnya, seramai 5,000 pelajar mendapat bantuan BUDI dan, manakala 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada tahun lalu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyediakan dana kepada lebih 1,500 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sabah menerusi inisiatif yang dinamakan BAGUS selain bantuan peralatan komputer di sekolah atau BISBAH.

“Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di negeri ini, dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan termasuk untuk sekolah mubaligh dan persendirian di Sabah pada tahun ini.

“Ia mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah sentiasa terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji meminta warga pendidik di Sabah agar terus menjadi tonggak yang kukuh dalam melahirkan kemenjadian murid dan menyokong Halatuju SMJ melalui sistem pendidikan yang sejahtera serta berkualiti.

Sejajar dengan tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, katanya kerajaan negeri yakin guru yang berkualiti tinggi penting untuk memastikan bangsa dan negara mencapai kecemerlangan serta kegemilangan.

Hajiji juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik di Sabah yang berjaya menggalas tugas mencabar sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2022 kepada Datuk Dr Nuinda Alias manakala Anugerah Tokoh Kepimpinan kepada Madaile Basri.

Beliau juga melancarkan Buku Tawag Tokoh Guru Sabah yang diterbitkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|