Kolam renang Kompleks Sukan Tawau dibuka mulai Rabu ini

Kolam renang Kompleks Sukan Tawau dibuka mulai Rabu ini

Tawau: Kolam renang Kompleks Sukan Tawau, di sini, yang baru siap dibina dengan kos RM11 juta akan dibuka kepada orang ramai bermula Rabu ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata kerajaan sudah menyerahkan kemudahan itu kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSS) untuk menguruskannya.

Katanya, kolam renang serba moden itu menjadi satu mercu tanda baharu daerah Tawau, khususnya dalam pembangunan sukan yang diharap dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan sebaik mungkin.

“Dengan adanya kolam renang ini, kita berharap dapat melahirkan atlet sukan renang yang berkebolehan pada masa akan datang,” katanya, di sini.

Bagaimanapun, katanya pengunjung kolam renang itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak LSS bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, LSS melantik seramai tujuh pengawal terlatih untuk menjaga keselamatan pengunjung ketika melakukan aktiviti di kolam renang berkenaan.

Beliau menegaskan, jika gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, individu terbabit dilarang untuk menjalankan aktiviti renang atau berada di kawasan kolam berkenaan.

Apabila beroperasi nanti, kolam renang berkenaan boleh dikunjungi melalui dua sesi iaitu jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan jam 2 petang hingga 4.30 petang.

LSS menetapkan harga tiket masuk RM5 bagi dewasa, manakala RM2 bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang boleh didapati di kaunter tempahan kemudahan sukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|