Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyatakan kekesalan kerajaan terhadap tindakan beberapa syarikat menghentikan pengeluaran ayam hingga berlaku kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
Katanya, kerajaan persekutuan memberi perhatian serius terhadap perkara itu yang kini mula menghimpit kehidupan rakyat.
“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.
“Pihak Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan isu ayam di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar tidak berminat untuk memohon subsidi itu, sebaliknya mahu kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.
“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.
-Deasoka