Isu ayam: Eksport ayam dihentikan mulai 1 Jun

Isu ayam: Eksport ayam dihentikan mulai 1 Jun

Kota Kinabalu: Kerajaan persekutuan memutuskan untuk menghentikan eksport ayam sebagai langkah jangka pendek menangani isu bekalan dan harga ayam yang dialami pengguna seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini sebanyak 3.6 juta ekor ayam dieksport sebulan, namun pengeksportan itu akan dihentikan mulai 1 Jun depan.

“Sebagai langkah jangka pendek, mesyuarat Kabinet hari ini telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini.

“Pertama ialah menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil. Keutamaan kerajaan adalah rakyat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan isu ayam di Putrajaya, hari ini.

Katanya, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini juga memutuskan untuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensinya.

Beliau berkata, keputusan turut diambil untuk memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang pembabitan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

“Kerajaan juga akan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedar mengenai laporan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Sehubungan itu, katanya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat perkara itu dan siasatan dijangka selesai pada Jun depan.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|