Isu ayam: Jihad memerangi orang tengah dihidupkan semula

Isu ayam: Jihad memerangi orang tengah dihidupkan semula

Kota Kinabalu: Kerajaan akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah bagi mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga ayam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu pernah diperkenalkannya pada 2014 ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah pada kali ini.

“Mesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada ahli jemaah menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.

“Mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan mengenai isu ayam di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta membentangkan
pelan projek penanaman jagung dan sebagainya dalam masa terdekat.

Jelasnya, kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan koperasi untuk membabitkan diri dalam penternakan ayam.

“Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini adalah sebahagian pelan jangka sederhana dan jangka panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Peguam Negara turut dipanggil pada Mesyuarat Kabinet hari ini dan menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika ada sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

“Tindakan boleh diambil di bawah akta itu dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta,” katanya.

Katanya, kerajaan juga meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Beliau berkata, peruntukan undang-undang itu menetapkan pesalah individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tahun tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi perbadanan atau syarikat pula, katanya denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata susulan daripada pengumumannya sebelum ini berkaitan pemansuhan AP bahan makanan, Kabinet hari ini juga bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

“Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|