Guru mampu urus konflik ikut keadaan semasa

Guru mampu urus konflik ikut keadaan semasa

Kota Kinabalu: Guru di negeri ini diyakini mampu menguruskan konflik dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap tugas terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin menyifatkan guru sebagai wira negara.

Katanya, jiwa besar guru dalam pendidikan negara telah memberi impak yang signifikan dan bermakna dalam sejarah profesion keguruan negara kita.

“Di era pandemik, guru berkorban banyak perkara dan tidak pernah serik berikhtiar untuk sentiasa dinamik memenuhi keperluan semasa dalam sistem pendidikan.

“Kita semua maklum bahawa fasa pandemik yang lalu memberi cabaran baru bagi warga pendidikan. Situasi konflik yang timbul ekoran daripada proses penyesuaian diri terhadap norma baharu sudah tentu memberi impak besar terhadap kesejahteraan kehidupan guru.

“Saya yakin guru adalah sosok insan berjiwa besar dan berupaya mengurus konflik dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap tugas,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Guru Peringkat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Katanya lagi, jalinan strategik antara sektor pendidikan dengan pihak lain melalui Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) semakin rancak.

“Hal ini memberitahu kita bahawa tanggungjawab mendidik dan mensejahterakan warganegara memerlukan sistem sokongan yang baik.

“Terima kasih Focal Person negeri mahu pun daerah, pihak swasta dan yang lain atas sokongan kalian dalam usaha membina generasi sejahtera melalui pendidikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|