Beri peluang belia dalam program kerajaan

Beri peluang belia dalam program kerajaan

Beaufort: Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GABUNGAN) Sabah berharap golongan muda terus diberi peranan penting dalam penganjuran program kerajaan.

Pengerusinya, Mazlan Joehari Manan berkata, golongan pembabitan belia amat penting sejajar kedudukan sebagai aset dalam pembangunan fizikal dan insan di negeri ini.

Mazlan ketika berucap pada Majlis Santai Aidilfitri Belia di Beaufort.

Katanya, Hari Belia Negara yang bakal diadakan di negeri ini pada Julai depan turut membabitkan penyertaan daripada belia GABUNGAN.

“Belia di negeri ini menyambut baik dan menyokong penuh atas pemilihan Sabah sebagai tuan rumah Hari Belia Negara 2022 oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

“Sudah pasti impak yang positif kita harapkan kepada golongan belia hasil daripada penganjuran hari belia ini nanti. Sehubungan itu, kami memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah agar penganjuran hari belia ini terus dihakupayakan kepada golongan belia melalui Majlis Belia Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Aidilfitri Belia, di sini, semalam.

Tambah Mazlan lagi, menerusi penganjuran Hari Belia oleh golongan itu sendiri amat penting sebagai platform pendedahan golongan belia kepada penganjuran program yang besar dan tahap tinggi.

“Majlis Belia Sabah telah membuktikan sejak dari mula lagi penganjuran Hari Belia Negeri Sabah yang dilaksanakan dengan jayanya.

“Sehubungan, itu kami memohon agar orang muda terus diberikan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan dan agensinya serta penganjuran program di kawasan pemimpin masing-masing.

“Berilah peranan kepada belia-belia ini agar mereka terus rasa dihargai dan percayalah keterlibatan anak muda dalam apa sahaja perancangan pemimpin akan memberi impak yang positif,” katanya.

Katanya lagi, golongan muda sering dipadankan dengan stigma kurang atau tiada pengalaman namun hakikatnya pengalaman itu tidak akan datang kalau ruang dan peluang tidak diberikan kepada mereka.

“Era revolusi IR4.0 sekarang yang dimonopoli oleh golongan muda, golongan mudalah yang lebih memahami dan mengerti akan era dan perubahan zaman teknologi ini.

“Nilai dan makna pembangunan negara ini harus dirasai oleh semua golongan masyarakat terutamnya golongan muda,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|