Ajal di pusingan U

Ajal di pusingan U

Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membuat pusingan U, di Jalan Tuaran Bypass, selepas Flyover Batu 5, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Benelli disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di beberapa anggota badan.

Keadaan mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 77 tahun dari Jalan Burung Selingkir ingin menghala ke arah Suria Inanam.

Katanya, ketika melalui Jalan Tuaran Bypass, kenderaan Toyota Hilux berada di lorong pusingan U untuk membuat pusingan menghala ke arah Tuaran.

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan yang mengorbankan penunggang motosikal.

“Ketika pemandu Toyota Hilux mula bergerak membuat pusingan, dan melimpasi lorong kiri laluan bertentangan, motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan terlanggar bahagian tepi tayar kenderaan Toyota Hilux.

“Akibat impak pelanggaran itu, mangsa terus jatuh dan terbaring di atas jalan dan mengalami parah di bahagian kepala serta patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala pemandu Toyota Hilux tidak cedera.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|