Putatan: Kebiasaannya lumba motosikal mencari pemenang paling laju, namun berbeza halnya pada program Sabah Motorsport Gathering sempena Pesta Kaamatan daerah Putatan, di sini yang mencari pelumba paling lambat.
Ia antara acara disediakan kepada peserta program berkenaan yang dihadiri seramai 300 pemilik motosikal dan 360 pemilik kereta dari seluruh pantai barat negeri ini.
Mereka berhimpun bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Putatan yang diadakan selama dua hari sejak Sabtu lalu.
Menurut penganjur program Sabah Motorsport Gathering, Mohd Norazuwan Abd Wahid, program itu menghimpunkan rakan belia terdiri daripada penggemar sukan permotoran dua dan empat roda dari beberapa daerah di pantai barat negeri ini.
“Program pada hari pertama diadakan untuk acara kenderaan dua roda dan sebanyak 300 motosikal hadir dari seluruh pantai barat Sabah termasuk Labuan berhimpun memeriahkan Pesta Kaamatan.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk kumpulan paling ramai, lumba lari, lumba sorong motosikal paling laju dan lumba motosikal paling lambat,” katanya kepada media pada program Sabah Motorsport Gathering sempena Pesta Kaamatan Daerah Putatan 2022, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pada hari kedua pula membabitkan kehadiran 360 kereta di mana beberapa aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan majlis.
“Antara aktiviti yang diadakan termasuk kumpulan paling ramai, lumba lari, lumba makan jagung paling laju dan lumba buka tayar kereta paling laju,” katanya.
Semua peserta yang hadir termasuk dari Beaufort, Papar, Kinarut, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Likas, Inanam, Telipok, Manggatal dan Labuan.
-deasoka