Pasukan Rambai juara Karnival Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Mukim Inanam

Kota Kinabalu: Pasukan Rambai muncul juara Karnival Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Mukim Inanam, Piala Datuk William Majimbon selepas berjaya menewaskan pasukan Mintunui 2-0, di sini, semalam.

Perlawanan akhir yang diadakan di Padang Sintetik, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menyaksikan dua gol dijaringkan Kuan Tet Tonduliu dan Adrence Joannes bagi mengesahkan kejuaraan keseluruhan pasukannya.

Kejohanan yang pada awalnya menggunakan format liga dimenangi oleh pasukan Mintunui selepas berjaya mengalahkan semua pasukan yang menyertainya.

Kejohanan kemudiannya beralih kepada format kalah mati membabitkan empat pasukan teratas liga.

Juara membawa pulang piala dan medal berserta wang tunai RM500 manakala naib juara yang disandang pasukan Mintunui turut menerima medal serta wang tunai RM300.

Tempat ketiga dan keempat yang disandang pasukan Doringin dan pasukan Lingaman turut membawa pulang medal dan wang tunai.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam, Datuk William Majimbon berkata, penyertaan dalam kejohanan seperti ini bukan saja bagi dapat mengeratkan silaturahim.

Malah katanya, ia juga langkah terbaik untuk semua pihak dalam menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Gaya hidup sihat ini seharusnya diamalkan secara berterusan, disamping bersukan, kita juga dapat merapatkan hubungan dengan rakan-rakan.

“Ia amat baik lebih-lebih lagi selepas era pandemik yang mana banyak aktiviti-aktiviti dihentikan sepenuhnya sebelum ini,” katanya.

William berkata, beliau menyokong penuh kejohanan ini yang dianjurkan pasukan Inanam Town Mix Veteran FC untuk terus diadakan di masa akan datang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada yang menang dan bagi pasukan yang kurang bernasib baik, cuba lagi dalam penganjuran yang akan diadakan selepas ini.

“Saya akan berusaha untuk terus membantu menganjurkan kejohanan seperti ini di masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau turut berharap, kejohanan ini akan mendapat lebih banyak penyertaan pasukan dari kawasan Inanam dan Manggatal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|