UMS komited tingkat kemahiran kakitangan, pelajar menerusi kerjasama dengan Turki

UMS komited tingkat kemahiran kakitangan, pelajar menerusi kerjasama dengan Turki

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited meningkatkan kemahiran kakitangan dan penuntutnya dalam proses pengajaran, penyelidikan dan pembangunan universiti menerusi jalinan kerjasama di antara UMS dengan Turki.

Jalinan kerjasama itu dimeterai menerusi satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dengan dengan Yildiz Technical Universiti (YTU) dan Marmara University (MU), yang diadakan di Istabul, Turki, kelmarin.

Noraini (tengah) menyaksikan acara menandatangani MoU di antara UMS yang diwakili Taufiq (kiri) dan YTU oleh Tamer (kanan).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, MoU yang ditandatangani bersama YTU adalah kerjasama dalam aktiviti pertukaran pelajar dan kakitangan di bawah program Erasmus.

Katanya, program itu adalah kerjasama dan penyelarasan projek penyelidikan bersama dan penganjuran aktiviti pembangunan kokurikulum pelajar seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, seminar dan simposium.

“Melalui MoU ini kedua-dua universiti akan berkongsi Geran Mobiliti Erasmus yang sepadan untuk menaja sekurang-kurangnya pertukaran tiga pelajar selama satu semester, tiga pensyarah universiti untuk pertukaran staf akademik dan tiga staf pentadbir selama lima hari setiap seorang.

“Tajuk penyelidikan bersama atau geran padanan yang akan dirancang adalah berkenaan kebolehpasaran siswazah serta kesediaan siswazah untuk tenaga kerja.

“Penyelidikan ini mengkaji pengaruh faktor akademik dan kemahiran insaniah terhadap kebolehpasaran graduan pelajar pengajian tinggi di Malaysia dan Turkiye,” katanya.

Taufiq mewakili UMS bagi menandatangani perjanjian itu manakala YTU diwakili Rektor, Profesor Dr Tamer Yilmaz.

Taufiq dalam pada itu berkata, perjanjian bersama MU bakal menumpukan program mobiliti pelajar bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dengan pendedahan kepada aspek budaya, ekonomi, politik, akademik dan seterusnya pembangunan minda pelajar.

“Melalui program mobiliti staf di bawah program Erasmus pula secara tidak langsung memberi latihan dan meningkatkan kemahiran staf dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan universiti sekali gus mempromosi UMS di peringkat antarabangsa.

“MoU dengan universiti ini juga menyaksikan Geran Mobiliti Erasmus sekurang-kurangnya bakal memberi faedah kepada tiga pelajar bagi program pertukaran pelajar selama satu semester, masing-masing tiga staf akademik dan pentadbir bagi tempoh lima hari,” katanya.

Tambah beliau lagi, kolaborasi lain yang dirancang ialah projek penyelidikan bersama bertajuk ‘Peranan dan kesan gaji minimum dalam pemulihan ekonomi pasca pandemik: Kajian perbandingan Malaysia dan Turki’.

“Kajian ini bertujuan untuk mengupas isu dan persoalan tentang sejauh mana pelaksanaan gaji minimum dapat mengurangkan peningkatan kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan di Turki dan Malaysia.

“Selain bagaimana ia dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan pemulihan kedua-dua negara terutamanya pada ketika dunia masih berdepan dengan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Acara menandatangani perjanjian itu menyaksikan UMS diwakili Taufiq manakala MU ditandatangani Rektor Profesor Dr Mustafa Kurt.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihak kementerian sentiasa menyokong usaha institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk mengadakan kerjasama dalam bidang akademik, pertukaran pelajar dan kakitangan, mahupun dalam aktiviti penyelidikan.

“Kerjasama dua hala antara IPT kedua-dua negara bukan sahaja bakal meningkatkan keterlihatan universiti-universiti di Malaysia di peringkat antarabangsa malah turut berpotensi untuk menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia, serta mampu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya yang turut hadir menyaksikan kedua-dua MoU itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|