KPDNHEP Sabah serbu premis jual aksesori wanita, wangian tiruan

KPDNHEP Sabah serbu premis jual aksesori wanita, wangian tiruan

Kota Kinabalu: Empat premis perniagaan menjual aksesori wanita dan wangian disyaki tiruan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah di sekitar daerah ini, Isnin lalu.

Serbuan bermula jam 11 pagi itu berjaya menyita sebanyak 1,355 barangan aksesori wanita dan wangian dari jenama terkenal.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan operasi membanteras barang tiruan di sekitar Kota Kinabalu.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan itu dilakukan empat pasukan yang terdiri daripada 25 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah bersama empat wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar bagi jenama Louis Vuitton (LV), Chanel dan Victoria Secret.

“Hasil serbuan, sebanyak 1,355 barangan aksesori wanita dan wangian dari jenama terkenal ditemui dan disyaki tiruan.

Antara barang aksesori wanita yang dirampas dalam serbuan di salah sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu.

“Semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM24,760.40 dan tindakan sitaan dilakukan selepas empat pemilik premis perniagaan terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” jelasnya.

Georgie dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kes yang dhasilkan itu adalah kejayaan kedua bagi KPDNHEP Sabah untuk tahun ini.

“Kejayaan pertama iaitu pada 8 dan 9 Mac lalu, sebanyak 437 barangan aksesori wanita yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang jenama terkenal yang disyaki tiruan bernilai RM10,573.30 turut disita di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie turut mengingatkan peniaga di negeri ini lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|