Tiga lelaki dipenjara sehari, denda kerana memandu mabuk

Tiga lelaki dipenjara sehari, denda kerana memandu mabuk

Tawau: Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000, manakala seorang lagi RM15,000 selain penjara sehari di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk pada Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Azlan Mohd Suriansyah, 24 dan Yasor Yakob, 34, didenda RM10,000, manakala Chong Weoi Lin, 42, didenda RM15,000 selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Azlan dan Yasor menjalani hukuman penjara lima bulan, manakala Chong enam bulan jika gagal membayar denda masing-masing.

Dzul Elmy juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara sehari, manakala lesen memandu mereka digantung selama dua tahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azlan dan Yasor didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thein Vun, pada jam 1.10 pagi, 30 Mei lalu, manakala Chong pula didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, kira-kira jam 11.20 malam pada 13 Mei lalu.

Ujian saringan pernafasan yang dijalankan ke atas ketiga-tiga tertuduh pada masa itu mendapati terdapat kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga mereja yang melebihi had dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Surian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam hujahnya, Suhaimi menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan saja di daerah ini malah di seluruh negara.

Berikutan itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|