Anggota penguat kuasa ditahan SPRM bantu siasatan terima suapan RM5,000 urus kad pengenalan

Anggota penguat kuasa ditahan SPRM bantu siasatan terima suapan RM5,000 urus kad pengenalan

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan hari ini menahan seorang anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta dan menerima suapan kira-kira RM5,000 bagi urusan pengeluaran kad pengenalan.

Suspek berusia 42 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sandakan kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima suapan daripada seorang individu sebagai upah untuk menguruskan pengeluaran kad pengenalan warganegara Malaysia.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada hujung bulan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|