Tongod bakal dilimpahi pelbagai projek pembangunan – Masiung

Tongod bakal dilimpahi pelbagai projek pembangunan – Masiung

Tongod: Daerah Tongod yang disenaraikan sebagai antara 10 daerah termiskin di negara ini bakal dilimpahi pelbagai projek pembangunan menerusi suntikan dana Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamat, Datuk Masiung Banah berkata, sehingga kini kerajaan negeri telah meluluskan dua projek baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 juta bagi menaikkan status pekan Tongod.

“Kita yakin pembinaan rangkaian jalan raya baharu menelan belanja RM350 juta antara Tongod-Keningau merentasi Penangah yang kini dalam pembinaan dijangka membuka ruang ekonomi lebih luas kepada penduduk daerah ini.

“Jalan raya Persekutuan berkenaan apabila siap nanti turut akan memudahkan pengangkutan dengan jarak lebih dekat antara Kota Kinabalu ke Keningau menerusi Tongod hingga ke Pantai Timur Sabah iaitu Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak hingga ke Tawau,” katanya ketika merasmikan Mini Dewan Kampung Talibu, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar Sabah (LPPB) berkata, daripada jumlah RM10.4 yang diperuntukkan kerajaan Sabah, sebanyak RM7.5 juta digunakan untuk membina 50 unit rumah kos rendah dan selebihnya RM2.9 juta dibelanjakan untuk mendirikan enam unit kedai bertingkat.

Katanya, peruntukan rumah kos rendah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan ia sudah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika majlis merasmikan Pesta Kaamatan di daerah ini pada 16 Mei lalu.

“Cadangan rumah kedai terbabit didirikan bersebelahan projek rumah kos rendah yang terletak berdekatan hospital dan Dataran Tongod.

“Seluas kira-kira dua hektar telah diwartakan untuk kedua-dua projek baharu tersebit dan majlis pecah tanah untuk bangunan komersial enam unit kedai dua tingkat juga telah pun disempurnakan oleh Ketua Menteri pada hari yang sama,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek rumah kos rendah 50 unit terbabit, Masiung berkata, ia dalam proses penyediaan dokumentasi oleh juru perunding tempatan yang akan dilantik.

Rumah kos rendah yang bakal dibina itu akan dijual kepada warga tempatan dengan harga antara RM55,000 hingga RM65,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|