JKNS sedia klinik bergerak di Kampung Mansiat

JKNS sedia klinik bergerak di Kampung Mansiat

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menyediakan perkhidmatan klinik bergerak untuk penduduk Kampung Mansiat, Sook dan sekitarnya selepas Klinik Kesihatan kampung itu musnah dalam kebakaran semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata penduduk juga boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tulid, Sook, namun jaraknya kira-kira 30 kilometer dari Mansiat.

Beliau berkata, JKNS juga sedang meneliti kaedah lain untuk memulihkan perkhidmatan kesihatan di kampung berkenaan termasuk kemungkinan menggunakan dewan masyarakat sebagai klinik sementara.

“Bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang paling hampir iaitu Klinik Kesihatan Tulid yang berada lebih kurang 30 kikometer ke arah Pekan Sook di mana semua perkhidmatan akan dipindah ke fasiliti terbabit.

“Di samping itu, pasukan klinik bergerak juga akan ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan bergerak ke kawasan operasi Mansiat.

“Fasiliti lain juga akan dikenal pasti, contohnya dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira jam 4.30 petang semalam, keseluruhan bangunan kayu Klinik Kesihatan Mansiat yang terletak di Jalan Tulid, Sook, kira-kira 100 kilometer dari pekan Keningau atau 60 kilometer dari pekan kecil Sook musnah dalam kebakaran.

Dr Rose Nani berkata, selain bangunan klinik, turut musnah dalam kebakaran itu ialah semua fasiliti klinik, termasuk sebuah ambulans.

Katanya, hanya lima bangunan kuarters kakitangan klinik yang terletak kira-kira 50 meter dari bangunan klinik tidak terjejas dalam kebakaran berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|