Modul STEM Covid-19 bantu murid hadapi PdP di sekolah

Modul STEM Covid-19 bantu murid hadapi PdP di sekolah

Kota Kinabalu: Sepasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) baru-baru ini telah membangunkan Modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Covid-19 bagi membantu murid pada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak FPP UMS, Dr Connie Cassy Ompok berkata, modul yang berasaskan konsep STEM itu hasil daripada inspirasi daripada Geran Penyelidikan Khas Pasca Covid-19.

Hasil karya murid ketika pelaksanaan aktiviti Growing Bacteria.

Katanya, modul itu dibangunkan untuk membantu guru mendidik murid mengenai pentingnya penjagaan kebersihan diri serta kesannya terhadap penaakulan moral murid.

“Modul ini menggunakan pendekatan inkuiri bagi memberi peluang kepada murid mempelajari isu semasa seperti Covid-19 sekali gus melibatkan diri secara aktif dalam penerokaan setiap akiviti yang melibatkan pembelajaran STEM.

Dr Connie Cassy Ompok

“Pembelajaran kesihatan ini membawa murid-murid meneroka punca seseorang itu mudah dijangkiti penyakit dan kaedah yang boleh menghindarkan diri dari dijangkiti penyakit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pembangunan modul itu dibangunkan kumpulan penyelidik yang terdiri daripada Connie sendiri bersama beberapa penyelidik lain iaitu Dr Noraini Said, Phreoza Dayzency Missie dan Penasihat Projek iaitu Profesor Datuk Dr Noraini Idris.

Menurut Connie lagi, pada fasa pembangunan modul, timbul persoalan bagaimanakah strategi yang terbaik dalam memperkenalkan STEM kepada murid disamping membantu mereka untuk mengetahui amalan kebersihan yang perlu diterapkan.

“Bagi menjawab persoalan itu, murid didedahkan dengan sepuluh aktiviti berkaitan kebersihan diri menggunakan pembelajaran STEM seterusnya membantu penaakulan moral murid-murid seiring dengan perkembangan semasa ke fasa peralihan endemik.

“Modul STEM Covid-19 turut membantu guru dalam memanfaatkan ruang bilik darjah sebagai makmal Sains dan sekali gus membantu perkembangan murid secara holistik,” katanya.

Connie berkata, aktiviti dalam modul itu memenuhi standard pembelajaran tunjang sains seperti menunjukkan sikap ingin tahu, sistematik, bekerjasama dan bertanggungjawab, membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan, dan menerangkan pemerhatian melalui hasil kerja atau lisan.

“Antaranya ialah aktiviti yang dikenali sebagai Pertumbuhan Bakteria (Growing Bacteria) yang menyaksikan murid mampu mengenali nama bentuk bakteria seperti Cocci, Bacilli, Vibrio dan Spirochaete.

“Selain itu terdapat juga aktiviti calit dan lihat (Swab and See), iaitu sebuah aktiviti yang memberi pendedahan awal untuk melihat bakteria menerusi mikroskop bagi tujuan membuat ramalan, pemerhatian, melaksanakan penilaian dan perbandingan akan objek atau tempat yang amat kotor.

“Bagi aktiviti ‘Making Toy Soap’, ia memperkenalkan konsep matematik iaitu kemahiran mengukur disamping mempelajari konsep masa,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Connie memaklumkan bahawa modul ini turut dinobatkan sebagai penerima pingat perak dalam Ekspo Kecemerlangan Rekacipta UMS 2020.

“Ia juga mengharumkan nama UMS apabila digunakan dalam artikel International Conference on Art, Design, Education and Cultural Studies (ICADECS) pada 2 Jun 2021.

“Sehubungan itu, guru atau ibu bapa yang berminat untuk mengakses modul ini boleh melayari laman sesawang di https://online.anyflip.com/hkgyn/hcfd/index.html,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|