Cubaan seludup angsa

Cubaan seludup angsa

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah bot selepas didapati cuba menyeludup masuk empat ekor angsa dalam operasi di kawasan Sungai Melayu, di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, semua haiwan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran Indonesia tanpa kelulusan Jabatan Veterinar.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, cubaan menyeludup itu berjaya dikesan Botronda PSC 50 PPM Tawau yang sedang dalam tugasan Op Gelora.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan empat ekor angsa disembunyikan di dalam karung putih.

“Semua keempat-empat angsa berkenaan terus dirampas selepas didapati tidak mempunyai surat kebenaran.

“Tindakan berkenaan sebagai langkah bagi mencegah penularan penyakit selsema yang biasanya disebarkan oleh unggas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, anggaran nilai rampasan kali ini adalah sebanyak RM1200 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, rampasan turus dibawa ke Pangkalan PPM Tawau sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veteriner Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Enekmen Haiwan 2015,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Tawau akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang sepanjang masa.

Katanya, pihaknya juga menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|