UMS komited bantu kerajaan perkasa bidang STEM di Sabah

UMS komited bantu kerajaan perkasa bidang STEM di Sabah

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa komited membantu dan menyokong aspirasi kerajaan, khususnya dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin berkata, usaha pemerkasaan itu dijayakan melalui pembelajaran bersepadu yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar menggunakan pendekatan secara praktikal dan penerokaan terbuka.

Katanya, pada masa kini, negara berdepan dilema apabila peratus pelajar dalam aliran berkaitan STEM adalah lebih rendah dan sekali gus menimbulkan kerisauan banyak pihak.

“Dengan adanya inisiatif penganjuran Karnival Sains, Minggu Sains Negara dan World Space Week di peringkat UMS, ia membantu memupuk minat pelajar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

“Di samping ia memberi pendedahan awal ke arah penciptaan dan inovasi,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Sains Sabah dan Minggu Sains Negara peringkat UMS, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap 1 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Maria Chong yang mewakili Menteri KSTI, Datuk Yakub Khan.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof Madya Dr Ramzah Dambul dan Ketua Pustakawan UMS, Mohd Sazali Mohd Salleh.

Raman yang menjalankan Fungsi Naib Canselor UMS menegaskan, pelbagai program berkaitan STEM juga telah, sedang dan akan diadakan di UMS.

“Antaranya, penyertaan UMS dalam Program Jelajah Pantai Timur dan Barat Sabah, Karnival STEM Asasi UMS, STEM4U@UMS, Program 3S (Webinar), Science and Arts Camp, Bengkel AstroRover, Phyton, 3D Printing dan Audiono.

“Pada hari ini, kita turut mengadakan Program Bicara Kanta U-Science bersama profesor perintis dalam bidang sains dan teknologi di Malaysia iaitu individu yang bertanggungjawab menubuhkan Planetarium Negara, Prof Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman.

“Kita harapkan suatu hari nanti, kita mampu melahirkan saintis muda yang kritis seperti Al-Jazari yang digelar Bapa Robotik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|