Blok terbiar PPR Taman Harmoni kini boleh disewa

Blok terbiar PPR Taman Harmoni kini boleh disewa

Sandakan: Selepas terbiar selama enam tahun, sebanyak 126 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini, akhirnya dibenarkan untuk disewakan kepada penduduk setempat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebuah blok di PPR berkenaan tidak disewakan sejak ia dibuka pada 2016 kerana dijadikan blok khas untuk kegunaan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya disebabkan tidak berpenghuni kebanyakan unit rumah di blok terbabit mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme.

“PPR Taman Harmoni ini mempunyai satu blok yang belum diisi dengan penghuni tapi banyak kerosakan akibat vandalisme.

“Kita perlu selesaikan ini dengan segera dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan memaklumkan dalam masa terdekat mengenai kerosakan itu supaya dapat diperbaiki dan kedua mereka yang layak menduduki tempat itu dapat dipilih segera untuk berpindah ke sini,” katanya pada sidang media selepas meninjau PPR Taman Harmoni, di sini, semalam.

Masidi berkata, keadaan berkenaan tidak boleh berterusan dan jika blok PPR terbabit dibiarkan terus kosong ia boleh menjadi lokasi sarang jenayah.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan segera membaiki kerosakan terbabit dan memilih individu yang layak ditempatkan di unit PPR yang masih kosong itu.

Pada masa sama, katanya beberapa kemudahan tambahan akan dibina di PPR terbabit, antaranya gelanggang futsal dan tandas masjid.

PPR Taman Harmoni yang mula diduduki pada 2016 mempunyai 1,000 unit rumah, namun hanya 874 unit dibenarkan diduduki, manakala selebihnya kosong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|