UMS ambil langkah proaktif terima kemasukan pelajar baharu

UMS ambil langkah proaktif terima kemasukan pelajar baharu

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil langkah persiapan proaktif bagi menerima ketibaan pelajar kemasukan baharu.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihaknya sentiasa komited dalam usaha untuk menyediakan persekitaran dan kemudahan yang kondusif untuk kegunaan mereka.

Kasim (dua kanan) pada sesi lawatan suasana pendaftaran di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae, UMS.

Tegas beliau, aspek penting yang diberi keutamaan adalah keselesaan dan keselamatan para pelajar di kampus.

“Kita menyeru kepada pelajar-pelajar supaya membiasakan diri untuk lebih positif semasa berada di kampus agar mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran mereka sepanjang tempoh pengajian.

“Kepada ibu bapa, saya menyeru agar mereka tidaklah risau mengenai keberadaan anak-anak mereka di kampus.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan kondusif,” katanya pada sidang media sempena Pendaftaran Kolej Kediaman Pelajar Baharu Bagi Minggu Suai Mesra (MSM) Sesi 2022/2023 Kali Ke-28, hari ini.

Menurut Kasim, jumlah tawaran keseluruhan bagi Prasiswazah adalah seramai 4,576 pelajar yang membabitkan pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 2,770 pelajar berasal daripada Sabah, 582 pelajar daripada Sarawak, 1,144 pelajar berasal daripada Semenanjung, dan 57 pelajar berasal daripada Wilayah Persekutuan Labuan.

“Selain itu, kita juga menerima kemasukan pelajar antarabangsa seramai 23 orang dari pelbagai negara, khususnya daripada Bangladesh, Brunei, China, Hong Kong, Jepun dan Thailand.

“Sementara itu, bagi jumlah kemasukan tawaran Prasiswazah laluan khas B40 adalah seramai 2,480 pelajar dan kita juga menerima pelajar dalam kategori orang kurang upaya (OKU) seramai lapan orang,” katanya.

Terdahulu, ibu bapa serta pelajar tiba di perkarangan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae seawal jam 8 pagi bagi sesi mendaftar masuk ke kediaman masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|