Gudang diserbu, rampas minuman keras bernilai RM88,624

Gudang diserbu, rampas minuman keras bernilai RM88,624

Kota Marudu: Sebuah gudang penyimpanan barangan runcit diserbu selepas menyorok 305 kotak minuman keras tanpa cukai kastam dalam Op Kontraban di Kampung Taka, Pitas, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, sepasukan polis dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, merampas pelbagai minuman keras bernilai RM88,624.80

Zairolnizal (kiri) memeriksa minuman keras tanpa cukai yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas sejumlah 305 kotak minuman keras pelbagai jenama disyaki tanpa cukai kastam.

Katanya, semua barangan itu disimpan di dalam gudang penyimpanan barangan runcit yang bersambung dengan sebuah pasar raya.

“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, anggaran nilai rampasan adalah RM88,624.80.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

“Polis akan terus komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan barangan kawalan serta subsidi supaya ketirisan hasil negara dapat dibendung demi kepentingan masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|