GRS siap sedia hadapi PRU-15 – Hajiji

GRS siap sedia hadapi PRU-15 – Hajiji

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata gabungan itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Beliau berkata, parti komponen GRS sebelum ini sudah mencapai kata sepakat untuk berdepan PRU-15 termasuk persetujuan untuk menggunakan lambang yang sama.

“Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata kerajaan negeri pimpinan GRS – Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempoh DUN.

Berikutan itu, katanya tiada keperluan untuk membubarkan DUN Sabah pada masa ini.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam untuk turun padang bagi menangani dan membuat penilaian kerosakan disebabkan banjir di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran, semalam.

Beliau juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam untuk bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi keadaan cuaca buruk yang mungkin menyebabkan banjir dan mengingatkan orang ramai di seluruh negeri supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|