Gaduh kerana wanita, tujuh ditahan

Gaduh kerana wanita, tujuh ditahan

Lahad Datu: Perbalahan pasangan kekasih dipercayai punca pergaduhan sekumpulan lelaki dan seorang wanita di pasar malam, Jalan Mawar, di sini, Sabtu lalu.

Rakaman video kejadian pergaduhan menggunakan kerusi dan topi keledar membabitkan kumpulan itu tular di media sosial berlaku kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah video tular berdurasi satu minit 44 saat membabitkan sekumpulan lelaki dan seorang wanita bergaduh.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan siasatan dan seterusnya melancarkan Ops Cantas bagi mengenal pasti semua suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Hasilnya seramai enam lelaki dan seorang wanita berusia 19 tahun hingga 28 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Unta, jam 11.40 pagi semalam, bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan iaitu topi keledar warna kelabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah balas dendam berikutan daripada perbalahan antara pasangan kekasih.

“Motif dipercayai disebabkan salah seorang suspek lelaki berselisih faham dengan teman wanitnya. Berikutan itu tiga lelaki iaitu supupu kepada wanita terbabit bergaduh dengan teman lelaki wanita terbabit.

“Lantaran itu, teman lelaki wanita terbabit kemudian memanggil abang dan rakannya untuk membantu dalam pergaduhan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan direman bermula hari ini hingga 13 Oktober untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan penularan video pergaduhan berkenaan dan membuat spekulasi kerana semua yang terbabit sudah ditahan pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|