Status OKU bukan halangan realisasi impian

Status OKU bukan halangan realisasi impian

Kota Kinabalu: Status sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) tidak sedikitpun menjejaskan semangat seorang pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat menara gading.

Norsahara Ali Hassan, 20, bakal meneruskan usahanya sebagai seorang mahasiswa dalam bidang Program Kerja Sosial di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dr Zaiton Mohamad

Pelajar yang berasal dari daerah Beaufort itu tidak dapat berjalan disebabkan masalah saraf tunjang yang dialaminya sejak hampir tujuh tahun lalu.

“Sebenarnya keadaan ini selepas saya menjalani pembedahan tulang belakang disebabkan skoliosis.

“Susulan pembedahan itu, saya mengalami masalah saraf tunjang yang menyebabkan saya tidak dapat untuk berjalan.

“Ia berlaku pada sekitar tahun 2015 dan sehingga kini saya masih melakukan ‘follow-up’ dan rehabilitasi,” katanya ketika ditemui pada Pendaftaran Kolej Kediaman Pelajar Baharu Bagi Minggu Suai Mesra (MSM) Kali Ke-28 Sesi 2022/2023, di UMS, hari ini.

Tambah anak kedua daripada empat beradik itu, beliau tidak akan mensia-siakan peluang untuk menambah ilmu pengetahuan, bukan sahaja bagi dirinya tetapi juga keluarga.

“Harapan saya agar dapat belajar dengan baik sepanjang tempoh pengajian ini dan saya juga ingin turut serta dalam menjalankan pelbagai aktiviti yang diadakan di UMS,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr Zaiton Mohamad berkata, setakat ini, jumlah keseluruhan pelajar OKU di UMS adalah sebanyak 55 orang.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan mahasiswa OKU di universiti sentiasa terjaga.

“Antaranya ialah kemudahan diskaun yuran sebanyak 50 peratus, mesin braille, dan kita juga sediakan sebuah van khas buat mereka.

“Oleh itu, mereka tidak perlu berebut untuk menaiki bas, mereka hanya perlu menyediakan jadual pergerakan mereka dan van tersebut akan membantu mereka pergi ke destinasi.

“Selain itu, bagi kemudahan di kediaman, ia dilengkapi dengan ramp, laluan bercorak timbul (tactile) serta fasiliti tandas yang luas,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|