PRU-15 tamatkan tohmahan ‘kerajaan pintu belakang’ – Bung Moktar

PRU-15 tamatkan tohmahan ‘kerajaan pintu belakang’ – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pilihan raya perlu diadakan untuk memastikan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang mendapat mandat yang sah daripada rakyat.

Mengulas pembubaran Parlimen hari ini, beliau yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata pilihan raya penting bagi mengembalikan kestabilan politik dan kerajaan yang mentadbir negara.

“Keputusan pembubaran Parlimen ke-14 tepat pada masanya untuk mendapatkan mandat baharu rakyat. Mereka akan memilih kerajaan baharu yang mampu membawa kestabilan politik negara dan ini merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati.

“Pembubaran itu juga akan menghentikan tohmahan daripada beberapa pihak yang mengatakan kerajaan dipilih pada hari ini adalah kerajaan ‘pintu belakang’ dan ‘kerajaan tebuk atap’.

“Belum pernah berlaku dalam sejarah dalam satu penggal yang sama berlaku pertukaran tiga kali kerajaan dan Perdana Menteri yang menunjukkan keadaan politik negara tidak stabil sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Berikutan itu, Bung Moktar berkata rakyat perlu bijak memilih kerajaan untuk menerajui negara pada PRU-15 dengan mengutamakan konsep fikir sebelum undi.

Katanya, ia penting bagi mewujudkan kestabilan politik selain tidak mengulangi episod PRU-14 yang menyaksikan parti yang dipilih menarajui kerajaan bukan saja gagal melaksanakan manifesto dijanjikan, malah gagal membawa kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Justeru, pengundi perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pemimpin berkualiti bagi memulihkan kestabilan politik sekali gus memacu semula ekonomi negara.

“Secara kasarnya, ekonomi negara belum lagi pulih memandangkan Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuklah pertukaran kerajaan dan Covid-19 menyebabkan situasinya tidak menentu.

“Kalau politik tidak stabil, negara ini bukanlah menjadi keutamaan pelabur. Jika kita lihat di Indonesia, mereka ada banyak pelabur kerana tidak bercakap mengenai politik selepas pilihan raya Presiden selesai,” katanya.

Mengenai persediaan BN Sabah menghadapi PRU-15, Bung Moktar berkata, BN Sabah telahpun bersiap sedia menghadapinya termasuk melalui pelancaran jentera BN yang diadakan di beberapa Zon sebelum ini.

Dalam perkembangan yang sama, Bung Moktar mengulangi pendirian BN Sabah untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU-15.

“Rundingan sedang berjalan dengan baik dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh yang terdekat ini.

“Mengenai calon-calon di Sabah yang akan mewakili BN pada PRU-15, BN Sabah sudahpun mengenal pasti calon berpotensi untuk dan akan memuktamadkan senarai calon kepada BN Pusat setelah rundingan bersama GRS selesai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|