Perkhidmatan kereta api KK-Beaufort tergendala akibat tanah runtuh

Perkhidmatan kereta api KK-Beaufort tergendala akibat tanah runtuh

Papar: Perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) esok tergendala selepas berlaku runtuhan tanah di landasan Terowong Papar, petang tadi.

Difahamkan, kereta api terkandas di lokasi kejadian dan kerja-kerja menyelamatkan mangsa sedang dijalankan.

Keadaan kereta api yang tersangkut di landasan Terowong Papar akibat runtuhan tanah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKNS menerusi laman sosial facebook berkata, lima perkhidmatan perjalanan yang dijadual esok dibatalkan sepenuhnya.

Katanya, antara jadual yang terjejas adalah perjalanan pada jam 5 pagi, 7 pagi dan 11 pagi yang menghubungkan Beaufort dan Sembulan.

“Selain itu, perjalanan balik dari Tanjung Aru dan Kinarut pada jam 1.40 petang dan 4.40 petang turut dilaporkan terjejas.

“Kerja-kerja menyelamatkan mangsa terkandas kini sedang giat dijalankan. Maaf atas segala kesulitan yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku di hujung terowong menghala ke Papar, pada jam 7.30 malam.

Katanya, kereta api berkenaan tersangkut dan kini pihak JKNS terpaksa menghantar sebuah lagi kereta api bagi menarik keluar kereta api yang dilaporkan tersangkut.

“Buat masa ini, kita masih belum dapat memastikan berapa jumlah penumpang yang berada di dalam kereta api berkenaan.

“Bagaimanapun, mengikut laporan diterima, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|