UMS agih 1,500 pek bubur lambuk sempena Ramadan

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak ketinggalan melaksanakan khidmat sosial sebagai antara sumbangan universiti itu kepada masyarakat, khususnya bersempena bulan Ramadan.

Antaranya menerusi program ‘Bah, Sungkai Kita Bubur Lambuk’ yang diadakan baru-baru ini, UMS mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada pelajar dan kakitangannya serta orang awam.

UMS melaksanakan program ‘Bah, Sungkai Kita Bubur Lambuk’ yang diadakan baru-baru ini mengagihkan 1,500 pek bubur lambuk kepada pelajar dan kakitangannya serta orang awam.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama syarikat Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd itu adalah antara usaha mengeratkan hubungan silaturahim dengan warga UMS dan orang awam melalui amalan bersedekah sempena bulan Ramadan.

Agihan bubur lambuk itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin di pintu utama UMS.

Program dengan kerjasama Pusat Minda Lestari (PML), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS itu juga turut mengagihkan pek bubur lambuk ke pejabat pentadbiran serta kolej kediaman pelajar.

Turut serta dalam agihan makanan itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Dr Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha; Pengarah PML, Dr Suwaibah Zakaria dan Dekan FIS, Prof Dr Mohd Dahlan A Malek.

Hadir sama ialah Pengurus Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd, Muhamad Zahari Muhd Nasir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|