700 tahanan imigresen larikan diri 

Bandar Baharu: Seramai 700 pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di sini, dilaporkan bertindak melarikan diri dalam kejadian awal pagi tadi.

Memetik Harian Metro, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kumpulan Pati, antaranya dipercayai warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot berkenaan oleh penduduk tempatan.

Difahamkan, semua tahanan terbabit adalah di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan, sebelum urusan penghantaran pulang dibuat.

Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan pihak JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah, dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan Pati yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.

Sidang media berkenaan kejadian dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pagi ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|