PRU-15: UMNO sedia rampas Parlimen Tawau daripada PKR

PRU-15: UMNO sedia rampas Parlimen Tawau daripada PKR

Tawau: UMNO bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika mendapat arahan daripada pucuk pimpinan di peringkat Pusat.

Ketua UMNO Tawau, Ghazali Ansing berkata jentera bahagian sudah sedia digerakkan untuk merampas kerusi berkenaan daripada pembangkang.

Ghazali (dua kanan) menyampaikan sumbangan pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada asnaf di Tawau.

Katanya, UMNO tiada masalah untuk bertanding di kerusi berkenaan yang sebelum ini diserahkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS), ketika parti itu masih dalam Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya kita diarahkan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding di kerusi itu, UMNO Tawau sudah cukup bersedia merampas kembali Parlimen Tawau daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jentera kita juga sudah cukup bersedia menghadapi PRU-15 walaupun ia akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 1,000 golongan asnaf di daerah ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Hamild Awang , di sini, semalam.

Ghazali berkata, pihaknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan di peringkat negeri dan Pusat untuk menentukan hala tuju UMNO Tawau.

Mengulas mengenai hubungan UMNO Tawau dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), katanya kedua-dua parti ini masih bersahabat.

“Hubungan UMNO Tawau dan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lain masih baik dan bersahabat mengenai hala tuju PRU akan datang,” katanya.

Sumbangan yang diberikan pada majlis berkenaan adalah hasil kerjasama ADUN Balung, Common Tower Technologies Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|