Tawau: Taktik menyembunyikan rokok seludup dalam bangunan terbiar terbongkar apabila 38,000 batang rokok tidak bercukai bernilai RM27,588 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Op Gelora di kawasan Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian 10.20 malam itu, Unit Risikan Marin membuat rondaan dan menemui empat kotak yang mencurigakan diletakkan di dalam sebuah bangunan terbiar berkenaan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan pada kotak berkenaan mendapati pelbagai jenama rokok dipercayai diseludup masuk dari Indonesia.
“Dipercayai kawasan bangunan terbiar ini dijadikan sebagai tempat pemungahan sementara sebelum diambil oleh pembekal.
“Tiada suspek yang dikenalpasti dan pemantauan telah dijalankan di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ridzauddin berkata, empat kotak rokok yang ditemui itu berisi sebanyak 38,000 batang bernilai RM27,588.
“Semua rampasan rokok seludup dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
-Deasoka