Jentera Bahagian main peranan hadapi PRU-15: Ketua Penerangan BERSATU Sabah

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menekankan pentingnya peranan setiap bahagian parti itu di negeri ini mempersiapkan jentera bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan percaya jentera parti sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan pilihan raya.

“Kita di Sabah bersyukur juga kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) baru berlalu dua tahun lalu. Itu ujian pertama kita, Alhamdulillah kita sudah lulus.

“Jadi ini ujian kedua kita dan saya percaya BERSATU di Sabah dari segi jentera sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi apa-apa kemungkinan,” katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi berkata, ia terpulang kepada setiap bahagian memandangkan pilihan raya kali ini lebih kepada isu setempat.

“Pilihan raya kali ini, bukanlah isu nasional sangat. Ia lebih kepada isu setempat dan melibatkan pembangunan serta kebajikan setempat.

“Jadi kalau setiap bahagian memainkan peranan, tiada masalah untuk berhadapan dengan pilihan raya tetapi kalau pilihan raya sudah tiba dan bahagian-bahagian tidak memainkan peranan seperti saya katakan, memang akan ada masalah,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung calon yang akan dikemukan di kerusi Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus kekal dengan pendirian menyerahkan sebarang keputusan kepada pimpinan tertinggi parti.

“Ini soalan tidak boleh dijawab kerana tiada kepastian. Jadi terpulang kepada Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ketua UMNO Sabah) bagaimana perbincangan mereka.

“Kalau mereka memikirkan masa depan Sabah, perbincangan itu harus demi masa depan Sabah tetapi kalau semua memikirkan masa depan masing-masing maka perbincangan itu akan jadi perbincangan lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|