Kota Kinabalu: Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, terpaksa memindahkan sebahagian pesakitnya ke HQE II disebabkan gangguan bekalan elektrik yang bermula tengah hari semalam hingga malam tadi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata pemindahan pesakit ke itu bagi memastikan rawatan pesakit tidak terjejas.
“Bagi memastikan perkhidmatan rawatan di HQE tidak terjejas, pelan kontigensi dilaksanakan dengan menghantar sebahagian pesakit ke HQE II. Kes-kes pembedahan juga dipindahkan ke HQE II.
“Pada jam 8 malam (tadi), selepas dua set janakuasa mudah alih berfungsi, semua wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah mendapat bekalan elektrik, kecuali dewan bedah,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Gangguan bekalan elektrik di HQE bermula pada jam 11.54 pagi semalam yang membabitkan semua fasiliti di menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan.
Dr Rose Nani berkata, syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital, Sedafiat Sdn Bhd kemudian mendapatkan bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada jam 12.29 tengah hari bagi mencari punca gangguan dan menjalankan pemulihan bekalan.
Katanya, pemulihan bekalan elektrik dilaksanakan segera menggunakan dua set janakuasa sedia ada di HQE bagi menampung bekalan elektrik di bangunan yang terjejas, disusuli dua lagi set janakuasa mudah alih disediakan SESB.
“Tndakan segera HQE dan JKNS serta syarikat konsesi adalah mendapatkan set janakuasa tambahan sebagai sokongan untuk janakuasa HQE sedia ada.
“SESB memberi bantuan dua set janakuasa mudah alih dari SESB Melawa, Sepanggar dan Polis Trafik Sabah membantu mengiringi kenderaan yang membawa janakuasa terbabit bagi melancarkan perjalanan ke HQE.
“Pihak HQE dan JKNS akan memastikan semua pesakit di hospital berkenaan sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya.
-Deasoka