Kenderaan terjunam ke gaung 200 meter

Papar: Seorang pemandu dan empat penumpang berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seorang mangsa dilaporkan parah manakala empat lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

Kenderaan Toyota Hilux terjunam ke gaung setinggi 200 meter.

Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki semua mangsa berusia 25 hingga 36 tahun itu dikatakan terjunam ke gaung setinggi 200 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari.

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa selepas kenderaan dinaiki terjunam ke gaung di Jalan Kimanis – Keningau, Papar.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian empat mangsa keluar sendiri dari kenderaan manakala seorang mangsa mengalami cedera parah.

“Pasukan bomba kemudiannya membawa naik mangsa yang parah menggunakan tali penyelamat dan stretcher,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Papar oleh jentera EMRS dan ambulans.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.35 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|