13 lagi pemilik syarikat mengaku salah kemuka penyata akaun bank palsu

13 lagi pemilik syarikat mengaku salah kemuka penyata akaun bank palsu

Kota Kinabalu: Seramai 13 lagi pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini kerana mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi memasuki tender kontrak membekal makanan asrama sekolah dan sebuah hospital di Sabah pada 2014 hingga 2018 dengan kontrak keseluruhan bernilai lebih RM22 juta.

Kesemua 13 pemilik syarikat terbabit didakwa atas 36 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka kemudian mengaku bersalah atas semua pertuduhan terbabit sebaik selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh terbabit ialah Tekanah binti Aring, 36, Pemilik Pemborong 1 Malaysia; Naima Omopor, 47, Pemilik Tuan Hidayah Enterprise; Darius Pengeran, 29, Pemilik Pemborong Alladin; Amira Athira Bt Abdul, 25, Pemilik Serasi Enterprise; Irwan bin Gintaun, 34, Pemilik Rabbani Enterprise dan Asrin Songorou, 29, Pemilik Aura Jadi.

Baki tujuh lagi tertuduh ialah Pulali Binti Angsabang, 51, Pemilik Puteri Lagenda Enterprise; Sahadi Andawai, 24, Pemilik Syuria Enterprise; Rosnah bte Lutok, 33, Pemilik Pemborong Tinantap; Menli Mansikar, 31, Pemilik Taming Sari Enterprise; Erar Binti Angsabung, 53, Pemilik Indera Kayangan Enterprise; Emeylina binti Tanggauh, 38, Pemilik Syarikat Izzati Enterprise dan Faizal bin Mingin, 41, yang bekerja sendiri.

Abu Bakar kemudiannya memerintahkan semua tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM180,000.

Kesemua tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membuat 36 pertuduhan ke atas 13 orang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan penyata akaun bank yang palsu bagi tiga bulan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada 2014 hingga 2018.

Perbuatan itu dilakukan pemilik syarikat terbabit untuk memasuki Tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak Asrama bagi sekolah rendah atau menengah di sekitar Sabah dan Hospital Kota Belud dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM22,618,114.40.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapiee.

Semalam seramai 10 pemilik syarikat turut mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama membabitkan 29 pertuduhan, manakala seorang pemilik syarikat yang didakwa atas 50 pertuduhan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Secara keseluruhan, sebanyak 79 pertuduhan dibuat SPRM semalam berkaitan Tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak Asrama bagi sekolah rendah dan menengah di sekitar Sabah dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM49,045,248.40.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|