Regatta Lepa Semporna kembali diadakan Mei ini

Kota Kinabalu: Pesta Regatta Lepa Semporna yang ke-29 dijangka akan diadakan pada Mei depan.

Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil berkata, pihaknya mencadangkan dua tarikh iaitu 20 hingga 22 Mei dan 28 hingga 30 Mei untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Katanya, sudah dua tahun pesta itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan penularan Covid-19.

“Kita sedia maklum, ada beberapa perayaan di peringkat negeri terpaksa dibatalkan jadi kita masih akur keputusan dari kerajaan negeri kerana ini melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi ulasan.

“Kita berharap semoga acara ini diperkenankan kerana masyarakat Semporna ternanti-nanti untuk menyaksikan Regatta Lepa ini,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Juraimin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Regatta Lepa berkata, kerajaan mengalu-alukan pembukaan sempadan negara bermula 1 April dan beliau percaya pesta berkenaan akan dihadiri ramai pelancong luar, selain masyarakat setempat dengan beberapa acara pengisian yang dirancang diadakan.

“Kita akan buat secara terbuka Pertandingan Regatta Lepa, Lami Lami dan Malam Sukan Laut,” katanya.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah; Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Khairudin Saidi dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Senallang, Adam Shah Mohammad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|