Detik cemas, kereta tiba-tiba terbakar

Kota Kinabalu: Seorang pemandu terkejut selepas kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Putatan-Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan sebelum musnah terbakar.

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam api kebakaran membabitkan sebuah kereta Peugeot di Jalan Kota Kinabalu-Putatan

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan sumber air dari jentera.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan keadaan lalu lintas juga berjaya dikawal sebaiknya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.05 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|