Kanak-kanak perempuan rentung dalam kebakaran 30 rumah 

Lahad Datu: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabah Baru, di Jalan Nipah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia dua tahun ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.

Kebakaran rumah di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.52 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Keadaan rumah yang musnah terbakar dalam kebakaran rumah di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu.

“Operasi turut dibantu oleh enam anggota daripada BBP Kunak bersama dua jentera dan agensi lain.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sekurang-kurangnya 30 rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar dan operasi pemadaman terus dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba juga terpaksa memecahkan empat lagi rumah berhampiran bagi menyekat api daripada terus merebak.

“Pasukan bomba juga berdepan kesukaran memasuki kawasan kebakaran disebabkan jambatan yang terlalu sempit dan usang,”katanya.

Sementara itu, Sumsoa berkata, mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui itu dipercayai berada di rumah pertama yang terbakar.

“Mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu dan kes diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.55 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 petang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden kali ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|