Tawau: UMNO tidak ketandusan pemimpin walaupun ada pemimpin tertinggi parti itu diheret ke mahkamah, kata Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.
Beliau berkata, pengalaman parti itu menempuh pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan menjadikannya sentiasa kukuh.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin. Jka kita lihat sejarah UMNO ini, berbagai masalah dan rintangan telah kita harungi namun kita tidak pernah ketandusan pemimpin.
“Sebabnya dalam perjuangan UMNO dan BN bukan pemimpin yang kita perjuangkan tetapi kerana kita mendokong parti keramat UMNO dan BN, itu yang menjadikan kita tetap bersemanagat dan terus berjuang,” katanya ketika merasmikan Himpunan Gelombang Biru BN Tawau dan Kalabakan, di sini, semalam.
Himpunan yang diadakan di Padang Bandaran Tawau itu disertai kira-kira 7,000 penyokong BN.
Hadir sama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.
Mengenai UMNO Sabah, Yakub berkata, pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Ketua UMNO Sabah.
“Beliau belum didapati bersalah, janji kami apapun yang terjadi kepadanya, beliau adalah pemimpin kami. Datuk Bung adalah pemimpin utama BN di Sabah, apapun terjadi kami tetap bersama Datuk Bung,” katanya mengulas pertuduhan mahkamah yang dihadapi Bung Moktar.
-Deasoka