Tawau: Semua persatuan etnik di Tawau dan Lahad Datu diminta terus membangunkan kebudayaan dan adat tradisi masing-masing agar tidak ditelan arus modenisasi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, ia penting agar warisan budaya dan kepelbagaian etnik dapat terus diperkasa sekali gus dikembangkan sebagai produk pelancongan budaya yang menarik.

“Kementerian sedia bekerjasama dengan semua persatuan etnik yang ada untuk bersama memajukan sektor pelancongan di seluruh daerah menerusi kekayaan warisan budaya masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama persatuan kebudayaan di kedua dua daerah itu baru- baru ini.
Katanya, kementerian beliau menerusi Lembaga Kebudayaan negeri Sabah juga akan mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana etnik yang mungkin sudah atau semakin pupus di negeri ini tetapi kaya dengan budaya serta adat tradisi yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan warisan.
Kira-kira 30 persatuan etnik hadir dalam sesi libat urus termasuk persatuan Cocos Sabah, Persatuan Banjar Tawau, Persatuan Seni Budaya Idaan Segama, Persatuan Komuniti Tidung Sabah dan banyak lagi.
Beberapa perancangan masa hadapan turut dibincangkan termasuk inisiatif untuk memperkasa produk pelancongan menerusi kebudayaan, penganjuran Hari Etnik peringkat negeri Sabah, serta pembinaan dewan budaya dan galeri di Lahad Datu.
Jelas Jafry lagi, usaha itu bukan saja dapat mengekalkan kesenian tradisi, budaya dan warisan tetapi juga mampu memberi impak kepada ekonomi masyarakat setempat.
-Deasoka