Pelabuhan POIC hab ‘trans-shipment’ sektor perkapalan

Pelabuhan POIC hab ‘trans-shipment’ sektor perkapalan

Lahad Datu: Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu menjadi salah satu hab ‘trans- shipment’ yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, kedudukan strategik Pelabuhan POIC di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal.

Hajiji melakukan gimik pelancaran rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu (LDPMY) dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di Terminal Kontena POIC Lahad Datu.

Katanya, operasi pemprosesan kargo juga boleh dilakukan di pelabuhan berkenaan sebelum dieksport ke beberapa negara maju seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

“Sudah pasti infrastruktur baharu ini akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan.

“Pelabuhan ini juga akan membantu menjayakan lagi sektor perindustrian di Sabah yang menjadi antara tiga sektor utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi sektor tumpuan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Hajiji menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Fredian Gan selepas melakukan pelancaran rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC, Lahad Datu.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Pelabuhan POIC Lahad Datu dan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sektor industri pelabuhan adalah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang pembangunan negeri, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo.

Katanya, kemudahan infrastruktur yang baik dan berkualiti dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan terutamanya di Sabah.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Justeru itu, kita yakin dengan kerjasama yang jitu dan erat di antara kerajaan negeri dengan sokongan padu daripada Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) negeri.

“Ini termasuk menubuhkan POIC Lahad Datu pada 2005 dengan objektif untuk menerajui pembangunan dalam sektor industri pemprosesan hiliran minyak sawit bagi menambah nilai kepada 1.4 juta hektar ladang kelapa sawit di Sabah, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Hajiji berkata, POIC juga membangunkan kelompok industri tambahan selain industri berasaskan kelapa sawit sebagai respon kepada kehendak dan minat pelabur terhadap prospek yang semakin meningkat seperti sektor pelabuhan dan logistik, biomass, kilang penapisan bio, minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, dengan siapnya pelabuhan POIC Lahad Datu pada 2018, ia dijadikan sebagai hab logistik perkapalan global dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu.

“Saya yakin dan percaya dengan kekuatan dan peluang yang ada, Pelabuhan POIC Lahad Datu boleh berkembang dengan lebih maju dan mempunyai daya saing yang tinggi pada masa hadapan.

“Secara umumnya, saya pasti Pelabuhan POIC tidak mempunyai kekangan besar yang boleh menghalang pertumbuhannya.

“Kedudukannya di lokasi strategik dan di pertengahan laluan utama kapal dagang adalah faktor utama yang dapat menarik lebih banyak syarikat perkapalan untuk menggunakan pelabuhan ini,” katanya.

Hajiji berkata, beliau optimis pelabuhan POIC Lahad Datu akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik dan sokongan kepada operasi eksport dan import.

Katanya, POIC Sabah Sdn Bhd melalui anak syarikatnya POIC Logistics Sdn Bhd bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan operasi pelabuhan yang terdapat di POIC Lahad Datu melalui penyediaan kemudahan pelabuhan paling komprehensif, canggih dan serba lengkap di perairan Selat Lombok-Makassar.

Jelasnya, pelabuhan itu terdiri daripada Terminal Kontena, Terminal Pukal Kering, Terminal Pukal Cecair dan Dermaga Pendaratan Baj atau Tongkang.

Beliau berkata, dengan kemudahan prasarana itu, Pelabuhan POIC Lahad Datu menjadi antara pelabuhan yang mempunyai kemudahan komprehensif yang terbaik di rantau ini.

Malahan katanya, pelabuhan yang terdapat di POIC mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaik di dunia seperti Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

“Oleh itu, adalah diharapkan pemain industri tempatan dapat memanfaatkan kemudahan pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan POIC Lahad Datu.

“Pelabuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri khususnya bagi kawasan pantai timur Sabah dan akan menjadi salah satu pintu masuk utama perdagangan dan pelaburan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri menyokong dan bersetuju pada dasarnya terhadap beberapa cadangan dan inisiatif baharu yang boleh memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah.

Katanya, lima inisiatif itu ialah pewujudan Zon Bebas (Free Zone) di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan Pusat Pengumpulan Satelit Biojisim, Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu, menubuhkan Akademi Maritim dan Pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan di kawasan tanah komersial di POIC Lahad Datu.

Beliau berkata, beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan di POIC akan memberi manfaat besar kepada rakyat, selain membantu merancakkan ekonomi di wilayah pantai timur Sabah.

“Pelabuhan ini secara langsung dan tidak langsung adalah milik rakyat Sabah dan kitalah yang akan mendapat nikmat dan manfaat daripadanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|