PRU-15: PBRS berminat tanding di Tawau

PRU-15: PBRS berminat tanding di Tawau

Tawau: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menunjukkan minat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tawau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia berdasarkan jawapan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup mengenai calon mewakili parti itu ketika ditanya perancangan PBRS di Parlimen Tawau.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat rundingan dengan pihak kepimpinan Pusat.

“Kita juga akan menghantar nama untuk Parlimen Tawau dan juga untuk DUN-DUN yang mungkin perlu kita buat persediaan sebab selepas Parlimen ini memang akan sampai untuk pembubaran DUN.

“Bagi PBRS, kita akan hantar nama dan ini masih di peringkat perundingan dan kita bagi makluman perkembangan dari masa ke masa,” katanya selepas merasmikan Pejabat PBRS dan penyerahan borang keahlian di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perancangan PBRS bagi kawasan Parlimen Tawau sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya pada PRU-15.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dalam pada itu berkata, kemasukan seramai 2,168 ahli baharu dalam PBRS bagi kawasan DUN di bawah Parlimen Tawau dan Kalabakan sebagai perkembangan positif untuk parti itu.

“Kita wujudkan bahagian PBRS mengikut kawasan DUN iaitu Sri tanjung, Apas, Balung, Kalabakan, Kukusan dan Merotai pun ada.

“Tetapi yang paling menonjol sekali adalah dengan kemasukan keahlian seramai 2,168 orang dan ini satu perkembangan positif bagi PBRS dan Barisan Nasional (BN).

“Ini menunjukkan bahawa rakyat mulai sedar bahawa BN pilihan terbaik untuk menerajui kerajaan dan membawa negara ke peringkat yang lebih baik khususnya dalam usaha pulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa BN mampu menjadi sebagai parti dominan selepas PRU15 berdasarkan trend di Semenanjung menerusi pilihan raya kecil dan negeri yang telah dilalui sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|