Lelaki parah, kereta terbabas masuk gaung

Lelaki parah, kereta terbabas masuk gaung

Tambunan: Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Kampung Makatip, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 37 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford terpaksa dibawa naik menggunakan junkie Stretcher oleh pasukan bomba.

Pasukan bomba membawa naik mangsa menggunakan junkin Stretcher.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.43 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Setiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Ford terbabas sendiri lalu terjatuh ke gaung sedalam 15 meter dan terdapat seorang mangsa cedera parah.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membawa naik mangsa menggunakan junkin Stretcher dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.17 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|