PRU-15: Pastikan calon GRS menang di Parlimen Lahad Datu – Hajiji

PRU-15: Pastikan calon GRS menang di Parlimen Lahad Datu – Hajiji

Lahad Datu: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mahu pemimpin dan ahli komponen gabungan itu menterjemahkan sokongan mereka dengan memastikan calon GRS menang di kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pemimpin dan ahli parti komponen itu harus bekerja dengan kuat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Hajiji bersama pemimpin GRS menyempurnakan gimik pelancaran Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu.

“Selain kerusi Parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga dimenangi oleh GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat. Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang.

“Hakikatnya hanya wakil rakyat daripada kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu, di Dewan Sri Perdana, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, GRS akan menerima parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu untuk bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan.

“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah,” katanya.

Lebih 4,000 orang menghadiri Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu yang turut dihadiri oleh presiden-presiden parti komponen GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|