Guru SK Lubok Temiang sertai 3-Minute PdP Pitching

Guru SK Lubok Temiang sertai 3-Minute PdP Pitching

Labuan: Seramai 12 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Temiang, di sini, menyertai Pertandingan 3-Minute PdP Pitching anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.

Program yang diadakan di Bilik Latihan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Bukit Kalam itu diadakan sempena Bulan Transformasi Kementerian Pendidikan (KPM).

Guru SK Lubok Temiang menunjukkan inovasi yang dipertandingkan pada Pertandingan 3-Minute PdP Pitching, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada lima guru Pendidikan Agama Islam iaitu Razidah Abdul Ghaffar, Khatijah Lamudin, Maszidah @Hanum Misir@Puting dan Razuin Milin, tiga guru Matematik iaitu Junainah Yahya, Sabturiah Abdullah Sani dan Hendry Anak Kui Siong serta dua guru Sejarah, Juanawati Omar Junit dan Sofiana Andi Patra.

Selain itu, Norhasiken Mohd Dahli, (Bahasa Melayu), Midzmar Harun (Pendidikan Jasmani) dan Lela Nor Rafidah Abdul Hamid (Bahasa Inggeris).

Guru yang terdiri daripada guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Jasmani dan Sejarah itu membentangkan inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masing-masing.

Pegawai SISC+, Jabatan Pendidkan Labuan, Dr Hyginus Lester Junior berkata, objektif pertandingan itu adalah untuk meningkatkan kepelbagaian pedagogi bilik darjah.

Selain itu, katanya pertandingan itu juga dapat menggalakkan guru mencipta atau menghasilkan inovasi dalam proses PdP.

“Pertandingan ini juga menyediakan ruang dan peluang bagi guru menampilkan hasil inovasi dan dalam masa yang sama dapat berkongsi hasil inovasi tersebut untuk dimanfaatkan oleh pendidik yang lain,” katanya.

Hyginus yang juga juri dalam pertandingan itu menjelaskan Labuan mencatat peserta teramai dengan 83 peserta menyertai pertandingan itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Lubok Temiang, Durasad Edris melahirkan rasa bangga dan berharap agar perkongsian itu mendatangkan manfaat kepada murid.

“Saya berharap guru-guru SK Lubok Temiang terus berkarya dan kreatif menghasilkan inovasi bagi membantu peningkatan PdP di dalam kelas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|