Pemandu maut, kereta terbabas sendiri

Pemandu maut, kereta terbabas sendiri

Papar: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Papar, Kampung Tanaki, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk hadapan Proton Satria berkenaan.

Mangsa tersepit di tempat duduk hadapan selepas kenderaannya terbabas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.17 pagi.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kereta Proton Satria yang terbabas sendiri di pusingan U, dari arah Kota Kinabalu menghala ke Papar.

“Pemandu kenderaan didapati tidak sedarkan diri dan sebelum disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|