Dua mangsa termasuk warga emas terperangkap banjir diselamatkan

Dua mangsa termasuk warga emas terperangkap banjir diselamatkan

Kuala Penyu: Seorang wanita warga emas dan remaja lelaki diselamatkan pasukan bomba selepas rumah mereka di Kampung Kasugira, di sini, dinaiki air, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 70 dan 16 tahun terbabit dilaporkan terperangkap dan sukar untuk keluar daripada rumah mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan terperangkap di dalam rumah yang sudah mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak beberapa jam sebelum itu.

“Pasukan bomba terus bertindak membawa keluar dan mengiringi kedua-dua mangsa ke lokasi selamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.10 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|