UMNO Sabah terbuka terima semula bekas ahli

UMNO Sabah terbuka terima semula bekas ahli

Tawau: UMNO Sabah sentiasa terbuka menerima semula kemasukan bekas ahli parti itu yang sebelum ini meninggalkan parti asalkan mereka ikhlas berbuat demikian.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata parti itu juga mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin menyertai perjuangan parti berkenaan dan Barisan Nasional (BN).

Bung Moktar menandatangi plak sebagai simbol perasmian Dewan Masyarakat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22, Balung, Tawau.

“Bagi mereka yang ingin kembali ke pengkuan UMNO / BN, kita mengamalkan sikap pintu terbuka asalkan mereka ikhlas dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Dewan Masyarakat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22, Balung, dekat sini, baru baru ini.

Bung Moktar menerima borang kemasukan ahli UMNO daripada beberapa kumpulan penduduk kampung.

Sempena perasmian itu, penduduk kampung bersetuju menamakan dewan berkenaan sebagai Dewan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Bung Moktar turut menerima borang kemasukan ahli UMNO daripada beberapa kumpulan dan individu setempat di kawasan berkenaan.

Sambil mengalu-alukan kemasukan mereka, Bung Moktar berkata perkembangan itu membuktikn UMNO / BN semakin mendapat tempat di hati rakyat dan diberi kepercayaan dalam usaha membantu rakyat dari dahulu sehingga sekarang.

“Rakyat sudah tentu bijak menilai apa yang telah dilakukan oleh BN dan UMNO ketika menerjui negara selain kestabilan politik teratur dan keadaan ekonomi negara juga terurus,” katanya.

Jelasnya, kejayaan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini menunjukkan yang rakyat kekal memilih BN kerana keyakinan mereka terhadap perjuangannya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyeru golongan petani, khususnya peneroka di negeri ini agar tidak bergantung terhadap sesuatu jenis tanaman sahaja.

Katanya, ia sebagai langkah persediaan bagi mereka sekiranya berdepan dengan kejatuhan harga satu-satu jenis tanaman.

“Kita sedia maklum buah sawit mengikut harga pasaran, ada ketikanya harga buah sawit akan menjunam jatuh yang memberikan kesan kepada peneroka. Justeru, dengan adanya tanaman lain ianya boleh mengimbangi pendapatan seharian,” katanya.

Beliau mencadangkan penduduk yang memiliki tanah supaya melaksanakan perladangan bercampur dengan mempelbagaikan tanaman yang mempunyai nilai pasaran yang baik.

“Banyak tanaman lain boleh kita usahakan antaranya durian musang king, nenas, avocado, sayur-sayuran dan lain-lain di mana ianya mempunyai nilai permintaan dan pasaran yang baik serta mampu menjana ekonomi kita,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar turut mengingatkan golongan petani agar tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja warga asing dalam mengusahakan sektor perladangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|