Beaufort: Daerah ini menjadi lokasi pertama perkhidmatan stesen minyak mini mudah alih luar bandar yang dibina menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama PETRONAS.
Stesen minyak dikenali sebagai Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) ROVR itu adalah kaedah baharu pengedaran bahan api di kawasan yang jauh dari stesen minyak, khususnya di luar bandar atau lokasi yang terjejas akibat bencana alam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia adalah satu model pembekalan stesen minyak yang dikawal selia kementeriannya di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 (Akta 144).
“Ia sangat berguna untuk tempat yang tiada stesen minyak atau stesen minyak itu tidak dapat digunakan akibat daripada bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh,” katanya selepas melancarkan PCS ROVR pertama yang dibuka dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) di Kampung Limbawang, di sini, semalam.
Beliau berkata, PCS ROVR Beaufort yang beroperasi sejak 26 November tahun lalu di adalah antara PCS ROVR dalam perancangan pembekalan oleh PDB kepada masyarakat luar bandar di Sabah.
Ketika ini, katanya PCS ROVR Beaufort adalah satu-satunya berjenama PETRONAS yang sudah beroperasi di Sabah dengan jualan harian melebihi sasaran berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Terdapat dua PCS ROVR berjenama PETRONAS lagi sedang dibina selain PCS ROVR Beaufort yang mana tapak pembinaannya sudah diluluskan oleh KPDNHEP dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.
“Selain PCS ROVR Beaufort di bawah PDB, terdapat empat PCS ROVR jenama lain juga sedang beroperasi di Sabah. Keseluruhannya, ketika ini ada lima PCS ROVR yang beroperasi di Sabah,” katanya.
Alexander berkata, PETRONAS juga sedang menimbang untuk menjadikan PCS ROVR sebagai model stesen minyak mini pada masa akan datang dengan modal yang mampu milik bagi pengusaha atau peniaga kecil.
Kaedah itu katanya sesuai kerana tidak memerlukan tanah yang luas untuk beroperasi, bergantung kepada jumlah penduduk, kenderaan dan keperluan petrol di sesebuah lokaliti yang tidak mendapat perkhidmatan stesen minyak penuh.
Jelasnya, KPDNHEP yang sentiasa mengalu-alukan dan menyokong inovasi baharu perniagaan yang boleh mendatangkan nilai tambah dan faedah kepada pengguna sejajar tanggungjawabnya dalam mengawal selia dan memajukan perdagangan dalam negeri serta menjaga kepentingan pengguna.
-Deasoka