Polis siasat rakaman kes saman trafik tular di media sosial

Polis siasat rakaman kes saman trafik tular di media sosial

Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung rakaman tular di media sosial berkaitan kes saman trafik membabitkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan dijalankan secara teliti dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti insiden sebenar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Katanya, ia termasuk mengambil keterangan daripada semua 12 anggota bertugas pada hari kejadian berkenaan.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada pemilik akaun Facebook dan meneliti rakaman ‘dash cam’ pada kenderaannya.

“Polis juga sudah memperolehi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan dijalankan dengan adil dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar undang-undang atau peraturan dan prosedur operasi tetap polis.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan komen yang menggusarkan atau menimbulkan persepsi negatif.

Katanya, ia dibimbangi akan menjejaskan siasatan polis.

Rakaman yang tular itu berkaitan kes saman trafik atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang memaparkan seorang pemandu dan penumpang serta seorang anggota polis trafik sedang bertekak mengenai saman berkenaan.

Pemandu terbabit yang menafikan melakukan kesalahan berkenaan mahu mendapatkan penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukannya dan enggan menandatangani saman yang dikeluarkan selagi tidak ditunjukkan bukti kesalahan yang dimaksudkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|